Friday, 24 May 2013

Cetusan Idea



USAHA UNTUK MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU
       
    Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang termaktub dalam perlembagaan negara. Namun, rakyat di negara ini semakin meminggirkan  bahasa Melayu yang berpunca daripada tanggapan yang salah terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan.
      Apakah usaha yang boleh kita lakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu ?. Badan utama yang memainkan peranan penting ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP hendaklah sentiasa menasihati, menegur dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta dan media massa supaya menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam urusan rasmi.
      Selain itu, peranan media massa tidak harus diperkecil. Pujian harus diberikan kepada stesen penyiaran seperti RTM dan TV3 kerana masih menggunakan bahasa Melayu dalam kebanyakan siaran.
      Di samping itu mahasiswa institusi pengajian tinggi dan warga pendidik harus memainkan peranan merka juga. Misalnya mahasiswa menganjurkan Minggu Bahasa Melayu dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Melayu. Warga pendidik pula mempunyai peranan yang lebih penting kerana mereka akan melahirkan pelajar-pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Melayu dengan baik.
     Peranan sektor swasta juga amat penting. Penganjuran lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara haruslah dilakukan. Hal ini secara tidak langsung akan memberi pulangan yang memberangsangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.
     Kesimpulannya, langkah-langkah yang pragmatik perlu diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu. Kepentingan bahasa ini haruslah disedari oleh setiap lapisan masyarakat. Jika tidak,generasi akan datang akan dijajah oleh kuasa-kuasa barat yang menggunakan bahasa asing.

Sumber Rujukan : Majalah Fokus SPM 2006




KARYA SASTERA SEMAKIN TERPINGGIR
    
  Dewasa ini, karya-karya sastera semakin terpinggir walaupun besar peranannya sebagai citra budaya bangsa. Karya-karya sastera meliputi luahan perasaan dan nasihat penulis melalui karya mereka seperti syair, sajak dan pantun. Selain itu, karya sastera juga dihasilkan dalam bentuk cerpen, drama dan prosa tradisional yang menitikberatkan aspek nilai-nilai murni. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan karya sastera semakin terpinggir dalam kalangan generasi muda hari ini.
      Faktor utama yang menyebabkan karya sastera kurang diminati oleh generasi muda hari ini adalah kerana bahasa sastera sukar untuk difahami. Dalam sastera terdapat terdapat banyak menggunakan bahasa Melayu klasik dan sukar untuk difahami oleh pembaca. Hal ini menyebabkan mereka berasa bosan apabila membacanya. Sebagai contoh, dalam prosa tradisional yangmenceritakan cerita-cerita  pada zaman dahulu, banyak menggunakan bahasa klasik seperti pengulangan perkataan maka, sahaya dan sebagainya. Terdapat juga penggunaan bahasa istana yang kini semakin luput dek arus kemodenan negara.
     Kemajuan sains dan teknologi juga menyebabkan karya-karya sastera tiada nilai di mata anak-anak muda marcapada ini seperti penciptaan penggunaan internet tanpa wayar dan permainan video yang lebih menyeronokan serta melalaikan. Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan internet secara meluas, tidak kira di bandar mahupun di desa. Terdapat banyak kafe siber yang dibuka, yang lebih cenderung kemudahannya untuk permainan. Tegasnya, kemajuan sains dan teknologi adalah salah satu faktor yang menyebabkan karya sastera semakin disisihkan oleh generasi muda hari ini.
      Konklusinya,karya-karya sastera merupakan warisan nenek moyang kita yang sangat berharga dan perlu dipertahankan agar tidak lapuk dek zaman serba moden ini. Oleh itu, semua pihak haruslah bahu-membahu dalam memperkasa karya sastera di negara ini.

Sumber Rujukan :  Fokus SPM 2009.

No comments:

Post a Comment